Sunday, January 2, 2011

Selamat Kembali Ke IPG Kampus Perlis

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Semoga seluruh warga IPG Kampus Perlis berada dalam keadaan sihat untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu di bumi bertuah IPG Kampus Perlis. Kami mengucapkan selamat kembali ke kampus dan buatlah persediaan sebaik mungkin untuk mengisi setiap saat yang ada di kampus dengan aktiviti bermanfaat dan bagi pelajar Muslim, kita kena atur masa kita betul-betul untuk pastikan setiap kerja buat kita menjadi berpahala.

Kepada semua sahabat-sahabat PISMP Ambilan Januari 2008 yang akan memulakan praktikum bermula 31 Januari 2011 hingga 29 April 2011 dan abang-abang serta kakak KPLI ambilan Jun 2010 yang akan memulakan praktikum pada 17 Januari 2011 di sekolah masing-masing , kami doakan anda semua dapat buat yang terbaik untuk anak didik. Jiwailah kerjaya anda yang sangat mulia ini. Guru akan diingat sampai mati. Selepas tiada lagi di dunia ini, kita masih akan dipanggil 'CIKGU'.

Kepada adik-adik PISMP Semester 5, 3, 1 dan PPISMP Semester 2, susunlah aktiviti harian anda dengan teratur. Jangan membazir masa. Isilah masa dengan paling teratur. Anda akan berasa cukup seronok berada di kampus apabila dapat mengatur masa dengan baik bermula dari bangun tidur hinggalah kembali ke tilam empuk anda semula.

Kepada semua warga IPG Kampus Perlis yang beragama Islam, dengan penuh rasa rendah diri kami mengajak semua sekali untuk sama-sama imarahkan Surau Nurul Iman setiap waktu solat. Kita hidupkan budaya berjemaah. InshaAllah ia akan memangkin suatu kekuatan kepada kita untuk lebih kuat mengharungi hidup dan meredah masalah. Carilah ketenangan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Elakkan daripada mencari ketenangan dengan bermaksiat kepada Allah kerana ia ibarat menambah parah pada luka sedia ada.

Harapan kami Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) untuk tahun 2011, IPG Kampus Perlis terus mencipta nama di semua peringkat termasuklah antarabangsa. Semua ini bermula daripada seorang individu. Jika semua mempunyai azam dan jiwa besar, kami berkeyakinan penuh kita akan dapat sama-sama garap dan kecap hasilnya nanti.

Sekian.

"IPG PERLIS SEJAHTERA, NIKMAT UNTUK SEMUA"

Abdul Muhaimin bin Abd. Hamid
Yang Dipertua
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment